Konsert ‘Analoque’ - Ana Raffali & Monoloque merupakan sebuah konsert akustik istimewa yang menggabungkan sepasang adam & hawa terunik dewasa ini, iaitu Ana Raffali dan Monoloque. Konsert dijadualkan akan berlangsung pada 19 disember, 2010 di Lambang Sari, Istana Budaya. Dua pertunjukan dalam satu hari iaitu pertunjukan pertama akan berlangsung dari jam 3:00 - 5:00 petang dan pertunjukan kedua akan bermula pada jam 8:45 – 10:45 malam.
Ana Rafalli seperti biasa akan diiringi oleh pemuzik pengiring The Marhaens yang didukungi oleh gabungan otai dan yang sedang meningkat naik, antaranya Aidit Alfian, GG, Geeka, Pito, Rohnie dan Nazrin. Manakala Monoloque dibarisi oleh Loque (tunjang utama), Kadax, Loko, Ijoo dan Adam. Sejarah mengetahui bahawa mereka ini jugalah merupakan pejuang Buterfingers yang cukup gah itu.
Perjalanan konsert ini amat menarik untuk dinikmati. Hampir 30 buah lagu akan dipersembahkan oleh kedua insan berbakat istimewa ini. Dimulakan oleh Monoloque yang akan mempersembahkan gabungan lagu-lagu lama dan baru dari zaman kegemilangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Biduan R.Azmi, zaman emas Butterfingers hinggalah eksperimentasi Monoloque hari ini. Tiada Kata Scantik Bahasa, Mengapa Riang Ria, Rindu Dendam, Cuai, Tentang2, Chenta, Jika Aku seorang Robot merupakan cebisan dari karya agung yang akan dipersembahkan pada hari konsert nanti.
Selepas berakhirnya persembahan Monoloque, Ana Raffali pula yang akan tampil. Ana akan menyampaikan lebih kurang 15 buah lagu, antaranya Hujan Bunga Di Kuala Lumpur, Tolong Ingatkan Aku, Cuba Jangan, Dan Biarkan Kau Terlepas, Ketika Aku Kecil dan lain-lainnya selain dari medley lagu-lagu ‘cover’ Melayu dan Inggeris yang digubah mengikut tekak Ana Raffali.
Kemuncak konsert ini adalah apabila kedua artis ini akan bergandingan untuk menyampaikan 2 buah lagu berhantu ketika ini iaitu ‘Kekanda Adinda’ dan ‘Kalau Berpacaran’ selain sebuah lagu bonus yang diberi sentuhan baru oleh Monoloque iaitu ‘Doa Buat Kekasih’ (nyanyian asal Ramli Sarip dan Khatijah Ibrahim).
Websites:
Monoloque
Istana Budaya
0 comments:
Post a Comment